14 January 2011

Diari Sosiolinguistik 1

Bagi siri pertama dalam diari ini, saya tertarik untuk menghuraikan pengaruh budaya dalam pertuturan seharian, secara spesifiknya kepada cara beberapa individu yang berbeza ketika menyapa atau mengajak saya untuk pergi makan.

Pastinya dalam pergaulan seharian biasanya bahasa yang digunakan tidaklah gramatis atau mengikut segala peraturan yang tercatat dalam kitab-kitab tatabahasa Melayu namun cukuplah sekadar sapaan itu bersifat mesra dan mudah difahami sesama sendiri serta mengikut kesesuaian masa dan ukuran usia.

Berikut merupakan beberapa sapaan yang sempat saya catatkan di sini;

"Woi, dah makan?"

"Makan jom!"

"Jom melantak dulu."

"Makan sudah kau?"

"Tak nak makan dulu ke?"

"Makan belum?"

Kalau dilihat ayat-ayat yang digunakan di atas tidaklah gramatis bahasanya. Berlaku pelbagai pengguguran kata serta mungkin agak kasar bunyinya. Selain itu istilah-istillah dalam bahasa slanga juga kerap digunakan. Akan tetapi, tujuan dan maknanya hanya satu, iaitu untuk mengajak seseorang untuk menjamu selera. Mungkin dalam bahasa formal dan betul sepatutnya berbunyi begini;

"Awak sudah makan atau belum? Sudikah awak untuk makan bersama kami?"

Namun sesiapa yang bertutur seperti begitu pasti akan diketawakan. Jadi dapat disimpulkan di sini bahawa dalam pertuturan makna lebih penting mengatasi peranan kegramatisan bahasa dari sudut morfologi dan sintaksis. Penggunaan bahasa yang bersifat slanga ini haruslah bersesuaian dengan lingkungan umur dan budaya penuturnya. Jika tidak kita mungkin akan dilabel sebagai kurang ajar dan sebagainya.

Prakata

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia. Blog ini akan digunakan sebagai medium pengajaran dan pembelajaran interaktif untuk kursus Sosiolinguistik BML3073 kelolaan Dr. Siti Saniah Abu Bakar. Saya beranggapan bahawa penggunaan blog dalam kursus ini merupakan satu langkah yang baik selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi semasa.

Justeru saya berharap agar dapat menggunakan tempoh empat belas minggu ini dengan sebaik-baiknya bagi memperoleh pelbagai ilmu yang bermanfaat daripada kursus ini sebagai bekalan buat masa kini dan kelak ketika sudah berkhidmat sebagai guru, insyaallah. Di blog ini juga saya akan memanfaatkan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis. Mustahil untuk kita menjadi manusia yang sempurna walaupun selaku pelajar bahasa Melayu sekalipun, jadi jika terdapat sebarang kecacatan dalam penulisan saya, saya mengharapkan teguran daripada anda semua dapat memperbaikinya.

Seterusnya kepada rakan-rakan sekursus anda dialu-alukan untuk berkongsi pendapat bersama saya melalui alam maya ini. Adalah agak sukar untuk saya menjejaki blog anda semua, jadi jika anda sudah sampai di sini silalah tinggalkan jejak anda sebagai pengikut atau follower agar saya dapat menjadi pengikut blog anda juga demikiannya. Saya menggunakan susun atur atau layout yang mudah, sederhana, dan tidak menyakitkan mata supaya isi kandungan blog ini mudah dibaca oleh pensyarah dan rakan-rakan sekalian.

Akhir kata saya berharap kursus ini dapat membuka mata kita akan kepentingan penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Sekian, terima kasih.